Khamis, 14 November 2013

Ada empat buah SSM, 15 SSN bakal hangatkan Liga Sukan KPM

ARKIB : 11/09/2013

Ada empat buah SSM, 15 SSN bakal hangatkan Liga Sukan KPM

TIDAK ramai yang tahu sudah wujud Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang di Gambang, Kuantan, malah ramai yang tidak tahu sudah ada SSM Sabah di Kota Kinabalu.
Sebelum ini, peminat sukan tanah air hanya mengetahui wujudnya Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang terletak di Kompleks Sukan Nasional Kuala Lumpur. SSBJ mula beroperasi pada awal 1996, dua tahun sebelum Sukan Komanwel 98 dianjurkan. Sekolah ini berperanan sebagai pusat kecemerlangan sukan untuk atlet murid yang dipilih mewakili negara ke temasya sukan terbesar yang pernah diadakan di negara kita itu.
Dua tahun kemudian, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar (SSTMI) mula beroperasi. Kedua-dua sekolah sukan ini memang sudah dikenali kerana telah melahirkan ramai atlet remaja yang cemerlang. Di samping itu, terdapat 15 buah Sekolah Sukan Negeri, satu di setiap negeri.
Dua lagi sekolah sukan dalam pembinaan adalah SSM Perlis dan SSM Terengganu. Dalam perancangan ialah sebuah SSM yang khusus untuk badminton dan satu lagi SSM untuk murid sekolah rendah yang menumpukan kepada sukan seperti gimnastik, terjun dan lain-lain yang perlu dimulakan dalam kalangan murid yang berada di sekolah rendah. Mudah-mudahan, kedua-dua SSM ini akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.
SSM Pahang dan SSM Sabah mula beroperasi pada awal tahun ini. Bola sepak dan memanah adalah sukan yang diberi tumpuan di SSM Pahang, manakala sukan hoki, olahraga, renang dan terjun diberi tumpuan di SSM Sabah.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menganjurkan Liga Sukan KPM sebagai ruang mempertingkatkan prestasi atlet murid dalam sukan masing-masing. Liga Sukan KPM bermula dengan Liga Bola Sepak pada 2008, semasa Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia sekarang menjadi Pengarah Bahagian Sukan.
Liga tersebut merangkumi Liga Piala Menteri Pendidikan bawah 14 tahun dan Liga Remaja KPM bawah 17 tahun. Liga ini disertai oleh pasukan dari semua Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan tiga pasukan SSM. Pada tahun ini, ia berlangsung selama 8 bulan mulai Februari dan berakhir pada Oktober, 2013.
Bagi Liga bawah 14 tahun, pasukan dari SSTMI dan SSM Pahang dikehendaki membariskan pasukan bawah 13 tahun kerana dua pasukan ini dianggap memiliki pemain yang lebih baik daripada pasukan-pasukan SSN.
Selain daripada bola sepak, Liga Sukan KPM turut mempertandingkan Grand Prix Sepaktakraw, Liga Juara Remaja Bola Jaring, Liga Hoki Remaja, Sirkit Balapan dan Padang, Grand Prix Badminton dan Sirkit Memanah.
Bagi sukan sepaktakraw, terdapat lima sirkit yang mempertandingkan pemain bawah umur 16, 14 dan 11 tahun. Liga Juara Remaja Bola Jaring mempertandingkan pemain bawah 14 tahun dan mulai tahun hadapan liga untuk pemain bawah 16 tahun akan diadakan.
Liga hoki mempertandingkan pemain bawah 14 tahun dan mengandungi lima sirkit. Terdapat tiga sirkit olahraga yang mempertandingkan atlet bawah 14 tahun lelaki dan perempuan. Sebanyak 20 pasukan yang terdiri daripada pasukan dari SSM dan SSN mengambil bahagian. Grand Prix badminton mengandungi lima sirkit yang mempertandingkan pemain bawah 14 tahun mengikut format Piala Sudirman. Terdapat tiga sirkit memanah untuk atlet bawah 14 tahun.
Liga Sukan KPM dikelolakan oleh Bahagian Sukan KPM dan dibantu oleh semua Jabatan Pendidikan Negeri. Sokongan daripada persatuan sukan kebangsaan juga diterima dan dalam kes bola sepak, FAM memberi bantuan elaun pengadil.
Sebagai mana yang kita ketahui bahawa pasukan bola sepak bawah 16 tahun telah memenangi Piala AFF di Naypyitaw, Myanmar minggu lalu. Pasukan ini adalah dari Sekolah Sukan Pahang. Sebagai sekolah sukan yang memberi tumpuan kepada bola sepak, SSMP mengumpulkan pemain bawah 13 tahun dan bawah 14 tahun.
Pemain bola sepak wanita juga ditempatkan di sekolah ini atas cadangan FAM. Pasukan bawah 16 tahun yang memenangi Piala AFF itu dibarisi oleh tujuh pemain dari SSTMI dan 13 murid SSMP. Pemain-pemain ini dipilih menerusi Liga KPM bawah 14 tahun, kecuali seorang pemain yang dipilih dari proses pemilihan terbuka.
Pasukan bola sepak SSTMI dan beberapa SSN terjejas kerana pemain terbaik mereka diambil untuk dikumpulkan di SSM Pahang sebagai persediaan menghadapi kejohanan ini. Mereka dilatih oleh dua jurulatih dari FAM memandangkan program ini adalah kerjasama dengan badan induk sukan bola sepak negara. Selain jurulatih, FAM turut menanggung kos lain yang berkaitan. Kos pendidikan, makan dan penginapan ditanggung oleh KPM.
Sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Negeri merupakan sebahagian dari struktur untuk Program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS). Liga Sukan KPM boleh dikembangkan lagi dengan sukan lain, tetapi kekurangan dana menjadi hambatan yang paling ketara. Sememangnya saya melihat sukan di sekolah khususnya usaha untuk memajukan sukan prestasi tinggi tidak mendapat dana yang sewajarnya.
Moga-moga jawatankuasa pembangunan bola sepak yang sekarang ini khabarnya akan dipengerusikan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan akan membantu pengelolaan Liga Bola Sepak KPM.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130911/su_09/Ada-empat-buah-SSM-15-SSN-bakal-hangatkan-Liga-Sukan-KPM#ixzz2kanGefnY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Free Flash TemplatesRiad In FezFree joomla templatesAgence Web MarocMusic Videos OnlineFree Website templateswww.seodesign.usFree Wordpress Themeswww.freethemes4all.comFree Blog TemplatesLast NewsFree CMS TemplatesFree CSS TemplatesSoccer Videos OnlineFree Wordpress ThemesFree CSS Templates Dreamweaver